Menurut Nik Safiah Karim dan Wan Malini Ahmad (2006), bidang
fonetik ialah bidang yang mengkaji bunyi-bunyi yang dihasilkan oleh manusia dan
memberi lambang kepada bunyi tersebut.
Manakala bidang fonologi pula ialah satu cabang ilmu bahasa yang
mengkaji bunyi bahasa sesuatu bahasa dan fungsinya dalam sistem bahasa
tersebut. Bunyi bahasa disusun dengan sistem dan bidang fonologi bertujuan
untuk menganalisis sistem ini.
Siti Hajar Abdul Aziz (2011), pula menjelaskan bahawa fonetik ialah
bidang yang mengkaji fenomena bunyi atau pertuturan manusia yang direalisasikan
melalui lambang-lambang tertentu.
Manakala fonologi pula bertugas untuk merumus, menghurai dan menjelaskan
segala bentuk bunyi sesuatu bahasa secara teliti dan terperinci untuk
menentukan peraturan dan bentuk bunyi secara spesifik.
Fonetik ialah kajian terhadap bunyi fizikal percakapan
manusia. Ia berkaitan dengan sifat
fizikal bunyi (fon) serta proses penghasilan fisiologi, penerimaan auditori,
dan persepsi neurofizikal. Manakala
Fonologi ialah kajian yang dilakukan mengenai pola bunyi bahasa iaitu tentang
bunyi-bunyi yang berfungsi dalam sesuatu bahasa yang dikenali sebagai bunyi
bahasa. Fonetik juga mempelajari cara kerja organ tubuh manusia, terutama
yang berhubungan dengan penggunaan bahasa manakala fonologi ialah ilmu tentang
perbendaharaan fonem sesebuah bahasa. Fonem merupakan istilah linguistik dan merupakan gabungan terkecil dalam
sesuatu bahasa yang masih boleh menunjukkan perbezaan makna. Fonem berbentuk
bunyi. Contohnya bunyi [k] dan [g]
merupakan dua fonem yang berbeza, seperti dalam perkataan "cagar" dan
"cakar".
Sebagai rumusan, didapati kedua-dua bidang ini saling
melengkapi antara satu sama lain. Bagi memahami fonologi, aspek fonetik perlu
dikuasai terlebih dahulu. Apabila sudah
menguasai bidang fonetik, baharulah sistem bunyi bahasa dalam sesuatu bahasa
dapat difahami dan dihuraikan dengan sempurna.
Dengan demikian dapat dilihat bahawa fonetik dan fonologi adalah saling
berkaitan antara satu sama lain. Garis pemisah antara kedua-duanya adalah
kurang jelas walaupun ada sarjana cuba meletakkan garis pemisahnya.
Di kesempatan ini, kami ingin mengucapkan selamat menduduki Peperiksaan Akhir. Semoga mendapat yang terbaik dalam subjek Terjemahan Arab-Melayu-Arab ini.