Pages

Thursday 6 June 2013

Menterjemah Unsur Bahasa

Budaya menurut Kamus Dewan edisi ketiga, diberikan tiga makna, iaitu 1) tamadun, peradaban; 2) kemajuan fikiran, akal budi (cara berfikir, berkelakuan dan sebagainya); dan 3) bersifat budaya, yang mengenai kebudayaan (1994: 180). Untuk perkataan kebudayaan pula, kamus ini memberikan takrif berikut:

“Keseluruhan cara hidup (yang merangkumi cara bertindak, berkelakuan dan berfikir) serta segala hasil kegiatan dan penciptaan yang berupa kebendaan atau kerohanian sesuatu masyarakat, tamadun, peradaban, kemajuan (akal budi)".



Berdasarkan takrif yang dikemukakan itu,  bahasa semua perkara yang menyangkut manusia dan kehidupannya adalah budayanya. Ia meliputi cara berfikir, cara bertindak, cara membuat sesuatu, cara bercakap, cara berpakaian, makanan, tempat tinggal, adat resam dan sebagainya. Oleh sebab ia merangkumi seluruh hidupnya, maka sudah tentu budaya ini akan diwarisi oleh generasi seterusnya. Melalui pewarisan ini, budaya itu akan kekal lama dan sentiasa diingat.

Aziz et. al ( 1981: 46) membahagikan budaya kepada empat jenis, iaitu budaya ekologi, budaya material, budaya sosial dan budaya ideologi, manakala Newmark pula (1988: 95) membahagikan budaya kepada lima kategori, iaitu budaya ekologi, budaya material, budaya sosial yang merangkumi kerja dan waktu terluang, budaya yang berkait dengan organisasi, adat resam, aktiviti, prosedur, konsep dan budaya gerak tubuh dan perangai.

Ekologi adalah satu ilmu yang mengkaji makhluk hidup di habitatnya atau suatu ilmu yang mengkaji struktur alam dan fungsinya serta mengkaji manusia yang menjadi sebahagian daripada alam persekitaran semula jadi itu (Saberi Othman 1986: 1).


Dalam konteks budaya, tingkah laku manusia sering berkait dengan persekitaran sekelilingnya. Ia berkait dengan alam di sekelilingnya, sama ada dengan keadaan cuaca, keadaan muka bumi, keadaan tanah yang dihuninya, tumbuh-tumbuhan dan binatang yang ada di sekelilingnya. Keadaan persekitaran yang dialami inilah yang melahirkan corak pemikiran dan tingkah laku yang berbeza antara dua manusia. Oleh sebab itu, didapati bahawa tingkah laku dan aktiviti yang dilakukan oleh bangsa Melayu berbeza dengan bangsa Arab. Begitu juga dengan makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan sebagainya.

Tanah Arab terkenal dengan permukaan bumi yang kering, berbatu batan, berpadang pasir dan beriklim panas, di samping ada ketikanya ia dilanda musim sejuk, menjadikan Tanah Arab berbeza dengan iklim atau keadaan geografi Tanah Melayu. Sementara Tanah Melayu pula diliputi oleh hutan tropika, mempunyai pemandangan yang menghijau, dan menerima taburan hujan yang tinggi sehingga ada kalanya menyebabkan banjir yang besar. Perbezaan geografi ini menyebabkan budaya ekologi kedua-dua bahasa adalah berbeza.


Banyak tumbuhan yang tumbuh di Tanah Arab tidak dikenali oleh bahasa Melayu. Pokok الأترجّة[1] , [2]الغِلَد dan [3]الشَّيْحِيَّة misalnya tidak mempunyai padanannya dalam bahasa Melayu. Begitu juga dengan pokok rambutan, durian, manggis dan sebagainya tidak ada padanan yang tepat dalam bahasa Arab.
[1] Sejenis pohon lemon 
[2] Sejenis pohon berduri yang dijadikan perhiasan rumah  
[3] Sejenis pokok bunga, tumbuh subur di kawasan yang mempunyai iklim sederhana 

Budaya sosial berkait dengan adat resam dan kepercayaan masyarakat itu.
Nama bagi pakaian, kenderaan, lauk-pauk, bentuk seni dan sebagainya yang digunakan dalam masyarakat Arab adalah berbeza dengan apa yang ada dalam masyarakat Melayu. Begitu jugalah sebaliknya.
Misalnya, masyarakat Melayu terkenal dengan pulut kuningnya, yang biasanya dikaitkan dengan majlis kenduri-kendara seperti kenduri khatam al-Qur’an, kenduri kahwin dan sebagainya, tetapi istilah pulut kuning ini tidak ada dalam masyarakat Arab.

Budaya idealogi berkait dengan agama, kepercayaan, adat resam dan politik.
Biasanya, hal-hal ini lebih rumit diterjemahkan kerana ia melibatkan emosi.

Kaedah Terjemahan:

Untuk menterjemahkan unsur budaya ini, bebarap cara boleh diikut. Antaranya ialah:
1. Budaya asal dikekalkan dalam teks terjemahan. Dengan cara ini pembaca sasaran akan mengenali dan mengetahui budaya sumber. Perkara ini boleh menambahkan ilmu pengetahuan pembaca dan membuatkan mereka lebih memahami budaya sumber.
2. Budaya asal disesuaikan dengan budaya sasaran. Mengikut cara ini, pembaca sasaran tidak akan menghadapi kesulitan dalam memahami teks sasaran, tetapi mereka tidak akan tahu budaya sumber.

3. Budaya asal yang tidak dapat dicari padanannya dalam budaya sasaran hendaklah dijelaskan maknanya dalam nota kaki atau nota akhir.

No comments:

Post a Comment