Pages

Tuesday, 11 June 2013

Fonetik Dan Fonologi

Salam, pastinya sekarang ini  kalian semua sedang mengulangkaji subjek terjemahan kan? Dan sementara membaca tu tentu kalian semua ada jumpa istilah Fonetik Dan Fonologi, betul tak? Jadi untuk mengurangkan kekeliruan, kami ingin berkongsi sedikit ilmu. Harapnya ia berguna ketika peperiksaan nanti dan berterusan sepanjang hidup. 

Menurut Nik Safiah Karim dan Wan Malini Ahmad (2006), bidang fonetik ialah bidang yang mengkaji bunyi-bunyi yang dihasilkan oleh manusia dan memberi lambang kepada bunyi tersebut.  Manakala bidang fonologi pula ialah satu cabang ilmu bahasa yang mengkaji bunyi bahasa sesuatu bahasa dan fungsinya dalam sistem bahasa tersebut. Bunyi bahasa disusun dengan sistem dan bidang fonologi bertujuan untuk menganalisis sistem ini.

Siti Hajar Abdul Aziz (2011), pula menjelaskan bahawa fonetik ialah bidang yang mengkaji fenomena bunyi atau pertuturan manusia yang direalisasikan melalui lambang-lambang tertentu.  Manakala fonologi pula bertugas untuk merumus, menghurai dan menjelaskan segala bentuk bunyi sesuatu bahasa secara teliti dan terperinci untuk menentukan peraturan dan bentuk bunyi secara spesifik.

Fonetik ialah kajian terhadap bunyi fizikal percakapan manusia. Ia berkaitan dengan sifat fizikal bunyi (fon) serta proses penghasilan fisiologi, penerimaan auditori, dan persepsi neurofizikal.  Manakala Fonologi ialah kajian yang dilakukan mengenai pola bunyi bahasa iaitu tentang bunyi-bunyi yang berfungsi dalam sesuatu bahasa yang dikenali sebagai bunyi bahasa. Fonetik juga mempelajari cara kerja organ tubuh manusia, terutama yang berhubungan dengan penggunaan bahasa manakala fonologi ialah ilmu tentang perbendaharaan fonem sesebuah bahasa. Fonem merupakan istilah linguistik dan merupakan gabungan terkecil dalam sesuatu bahasa yang masih boleh menunjukkan perbezaan makna. Fonem berbentuk bunyi.  Contohnya bunyi [k] dan [g] merupakan dua fonem yang berbeza, seperti dalam perkataan "cagar" dan "cakar".

Sebagai rumusan, didapati kedua-dua bidang ini saling melengkapi  antara satu sama lain.  Bagi memahami fonologi, aspek fonetik perlu dikuasai terlebih dahulu.  Apabila sudah menguasai bidang fonetik, baharulah sistem bunyi bahasa dalam sesuatu bahasa dapat difahami dan dihuraikan dengan sempurna.  Dengan demikian dapat dilihat bahawa fonetik dan fonologi adalah saling berkaitan antara satu sama lain. Garis pemisah antara kedua-duanya adalah kurang jelas walaupun ada sarjana cuba meletakkan garis pemisahnya.

Di kesempatan ini,  kami ingin mengucapkan selamat menduduki Peperiksaan Akhir. Semoga mendapat yang terbaik dalam subjek Terjemahan Arab-Melayu-Arab ini. 

1 comment:

  1. singgah n follow sini :)
    Syiralokman.blogspot.com

    ReplyDelete