Pages

Sunday 10 March 2013

Warkah Buat Seorang Anak

Salam kepada pembaca-pembaca blog..Saya yakin,pasti anda tertanya-tanya kenapa saya melakarkan post seperti ini..Namun saya yakin..setiap ibu..inilah pesanannya kepada anak mereka..Saya terbaca sepucuk surat yang saya rasa wajib kita menghayatinya bersama..Semoga kita disini menuntut ilmu untuk mencapai keredhaan Allah..Suratnya berbunyi begini..


 Assalamualaikum, anakanda yang dikasihi, segala puji bagi Allah kerana dengan izinNya ibu dapat menulis surat ini untuk tatapan anakanda. Apa khabar? Semoga anakanda sihat walafiat. Anakanda masih ada test lagi? Ibu harap anakanda terus belajar. Di universiti tidak sama dengan belajar di sekolah. Di universiti selalu ada test untuk menggalakkan pelajar sentiasa bersedia untuk menghadapi peperiksaan. Begitulah untuk menjadi pelajar cemerlang.

Kita berusaha untuk cemerlang bukan atas dasar kepentingan diri sahaja, tapi untuk seluruh ummat Islam. Ibu harap anakanda jelas dengan matlamat ini. Keredhaan Allah yang kita dambakan dalam apa jua tindakan kita. Biarlah setiap detik yang kita lalui ada keredhaanNya. Ibu tahu memang susah untuk belajar disana..tapi itulah jihad bagi kita, jagalah hati, fikiran dan tindakan kita. Utamakan solat pada waktunya, seeloknya solatlah berjemaah, jangan tinggal zikir Al-Ma'thurat setiap pagi dan mentadabbur Al-Quran. Ingatlah ibadah yang sahih yang merupakan syarat untuk kejayaan kehidupan manusia, kita tidak boleh meringan-ringankan soal ibadah. Hati yang sentiasa dekat dekat dengan Allah dan yang sentiasa berzikir dan mengingatiNya, akan diberi rahmat dan keberkatanNya. Jadi apa yang kita usahakan selama ini, kita pulangkan padaNya untuk memberikan kepada kita natijahnya.

Ingat tak seorang alim yang selalu sujud pada Allah selama 500 tahun dan apabila ia meninggal dunia, Allah berkata kepada malaikat, masukkan dia ke syurga dengan rahmatKu lalu orang alim itu meminta memasukkan ke dalam syurga berdasarkan amalannya, lalu malaikat mengira amalnya, tidak cukup untuk masuk ke syurga kerana jika dikira nilai amalan manusia dengan anugerah yang Allah berikan pada kita sangat besar. Sujud 500 tahun tidak cukup untuk membayar nilai sepasang mata untuk melihat. Jadi orang alim itu pun menyesal lalu memohon pada Allah untuk dimasukkan ke dalam syurga dengan rahmatNya. Begitulah hakikat diri kita, terlalu kerdil. Orang mukmin perlu ada 2 sifat ini yang mengiring perjalanan hidupnya iaitu sifat raji' dan sifat taqwa. Dua sifat ini iaitu takut dan berharap perlu ada pada hatinya, barulah menjadi manusia yang sentiasa mengharap redah Allah dan takut amalan-amalannya tidak diterima. Sebenarnya Allah nak tarbiah kita sebagai hambaNya supaya tidak terlalu yakin dan merasa ppuas hati dengan prestasi kita walaupun kita telah melakukan yang terbaik. Sahabat-sahabat pada zaman Rasulullah sentiasa ada sifat ini sebab itulah Allah memberikan kejayaan kepada mereka sehingga mereka muncul sebagai generasi unggul dengan keberkatan dan rahmatNya.

Hiasilah malam hari dengan solat sunat, munajat, dan beristighfar kepadaNya. Itulah orang mukmin yang cerdik sebenarnya. Cukup disini dulu untuk anakanda..lain kali ibu akan utus surat lagi..Salam sayang dari ayah dan adik- adik. Ibu harap Allah mengurniakan kekuatan kesihatan kepada anakanda untuk berjuang. Ibu akan sentiasa mendoakan anakanda diberi rahmat oleh Allah s.w.t.

Wassalam, ibu....


Semoga kita menjadi insan yang sentiasa mempunyai 2 sifat mukmin iaitu raji' dan takwa..






Sekian dari saya.....




1 comment: